Thursday 22 September 2016

KESAN PENDUDUKAN JEPUN

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah memberikan kesan dan negatif terhadap penduduk Tanah Melayu dari pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi dan politik



1. Sosial

Dalam usaha untuk menyemai sikap anti penjajah Barat, tentera Jepun telah menjadikan Bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di sekolah. Pendudukan Jepun juga telah mengamalkan sikap anti-Cina. Keadaan ini menyebabkan sebahagiaan daripada orang Cina telah melarikan diri ke hutan dan menyertai tentera MPAJA. Sebaliknya pada masa yang sama, ramai orang melayu yang bekerja dengan tentera Jepun sebagai askar dan polis. Ini menyebabkan apabila berlakunya pertempuran antara tentera Jepun dengan MPAJA, maka pertempuran ini melibatkan orang Melayu dengan orang Cina. Keadaan ini secara tidak langsung telah memperlihatkan permusuhan antara orang Melayu dengan orang Cina. Pergeseran ini semakin buruk khususnya selepas Jepun menyerah kalah. Kesempatan ini telah digunakan oleh orang Cina yang menganggotai MPAJA untuk membalas dendam bukan sahaja kepada orang Melayu yang menganggotai tentera Jepun tetapi juga kepada orang Melayu yang lain. Lantas hubungan kedua-dua kaum tersebut menjadi renggang. Di samping itu, pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga telah menyebabkan taraf hidup dan kesihatan penduduk Tanah Melayu semakin merosot dan pelbagai penyakit berjangkit telah merebaK. Kesukaran untuk mendapatkan makanan yang berzat ditambah lagi dengan kemudahan perubatan yang terhad telah menjejaskan mutu dan taraf kesihatan penduduk di Tanah Melayu. Di samping itu, ramai rakyat Tanah Melayu telah dikerah untuk bertugas bagi membina landasan kereta api di antara Burma dengan Thailand, yang juga dikenali sebagai landasan kereta api maut.


2. Ekonomi

Sewaktu pemerintahan Inggeris meninggalkan Tanah Melayu pelbagai infrastruktur asas telah dimusnahkan bagi memastikan penjajah Jepun menghadapi kesukaran untuk membangunkan dan menguasai ekonomi Tanah Melayu. Dalam usaha memulihkan ekonomi Tanah Melayu, pentadbiran Jepun telah memperkenalkan mata wang baru di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun disebabkan pengeluaran mata wang yang tidak terkenal, inflasi telah berlaku di Tanah Melayu. Di samping itu, perdagangan import-eksport Tanah Melayu dengan dunia luar juga semakin lumpuh. Pengeluaran getah dan bijih timah telah terjejas teruk akibat peperangan. Pengangguran juga semakin ketara selain beberapa keperluan asas dan barang makanan semakin sukar diperoleh.


3. Politik

Semasa pemerintahan Inggeris, wujud fahaman kebangsaan yang berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Inggeris. Pergerakan ini yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob, mempunyai matlamat untuk menyatukan Malaysia dan Indonesia dengan konsep Melayu Raya. Pada Mei 1937 pergerakan ini menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda. Menyedari bahawa pertubuhan ini akan mengugat pengaruh Inggeris, pada 1940 pemimpin pertubuhan ini telah ditangkap dan dipenjarakan. Sewaktu Jepun memerintah Tanah Melayu, kerajaan Jepun telah membebaskan pemimpin tersebut yang kemudiannya telah menubuhkan badan yang dikenali sebagai Pembela Tanahair (PETA). Walau bagaimanapun disebabkan aktiviti yang dijalankan oleh PETA tidak sehaluan dengan pemerintah Jepun, badan ini kemudiannya diharamkan. Namun begitu, aktiviti PETA masih terus berjalan dan kemuncaknya pada 1945 Ibrahim Yaakob dan Dr. Burhanuddin telah merancang penyatuan Tanah Melayu dan Indonesia yang dikenali sebagai KRIS (Kesatuan Indonesia Semenanjung). Tetapi rancangan ini tidak sempat dilaksanakan kerana pemerintah Jepun telah menyerah kalah. Kejayaan Jepun mengalahkan Inggeris serta pengalaman orang Melayu memerintah Tanah Melayu yang diberikan oleh Jepun bagi mengisi jawatan yang sebelum ini dikuasai oleh pentadbir Inggeris juga telah berjaya membangkitkan kesedaran politik khususnya di kalangan orang Melayu. Disebabkan kesedaran politik inilah rancangan Inggeris untuk menubuhkan Malayan Union selepas berakhirnya pendudukan Jepun telah mendapat tentangan yang meluas daripada orang Melayu sehingga menyebabkan rancangan Malayan Union tidak dapat dilaksanakan.


Contoh kesan pendudukan Jepun

No comments:

Post a Comment