Thursday 22 September 2016

FAKTOR KEJAYAAN JEPUN

1. Persediaan yang rapi

Sebelum Jepun melancarkan perang ke atas Tanah Melayu, mereka telah membuat persediaan khususnya mengumpul maklumat penting berhubung dengan kekuatan pertahanan British, angkatan dan kelengkapan peperangan. Menyedari bahawa kubu pertahanan British di Singapura agak sukar untuk dimusnahkan, tentera Jepun telah menyerang Tanah Melayu dari arah belakang, iaitu melalui Kelantan yang tidak mempunyai pertahanan yang lengkap. Ini membolehkan pergerakan tentera menjadi lebih mudah dan dalm masa yang singkat Tanah Melayu telah berjaya dikuasai.


2. Penguasaan tempat yang strategik

Jepun juga bertindak dengan menawan padang kapal terbang yang terletak di Kota Bharu, Alor Star dan Taiping. Penawanan tempat strategik ini menyukarkan dan melemahkan pertahanan udara British. Serangan Jepun ke atas Tanah Melayu juga dilancarkan dengan pantas dan tersusun. Jepun telah menggerakkan pasukan tentera udara, laut dan daratnya dari pangkalan  mereka di Indochina dan Siam.


3. Lumpuhnya armada laut British

Di samping menghancurkan pertahanan tentera udara British, Jepun juga telah berjaya menenggelamkan dua buah kapal perang Inggeris, iaitu Repulse dan Prince of Wales pada 10 Disember 1941 yang sedang berlayar di Laut China Selatan berhampiran Kuantan bagi menghalang konvoi Jepun yang sedang menuju ke arah Selatan. Dengan tenggelamnya dua buah kapal perang ini, Tanah Melayu terdedah kepada serangan laut oleh tentera Jepun.



Kapal perang Prince of Wales kepunyaan British


4. Keberanian tentera Jepun

Pasukan tentera ke-25 yang diketua oleh Leftenan Yamashita telah datang dengan semangat hidup atau mati bagi tujuan suci mereka. Semua tentera telah diarah menyediakan wasiat mereka. Di samping itu, tentera Jepun juga telah mempunyai pengalaman berperang selama bertahun-tahun di Manchuria dan telah mendapat latihan perang untuk berperang di kawasan Tropika.


5. Pakatan dengan kerajaan Siam

Pendaratan Jepun di Singgora merupakan sebahagian daripada rancangan untuk memujuk atau memaksa negera Thailand supaya bekerjasama dengan Jepun. Ini telah menyebabkan suatu Persetiaan Perikatan telah ditanggani pada 11 Disember 1941. Ini seterusnya telah membolehkan pergerakan tentera Jepun untuk memasuki Tanah Melayu menjadi semakin mudah.



Laluan Jepun ke Tanah Melayu


6. Semangat tentera Berikat

Pasukan tentera Berikat yang mempertahankan Tanah Melayu terdiri daripada lapan briged askar India, dua briged askar Australia dan dua briged sukarelawan Melayu. Pasukan tentera Berikat ini, khususnya lapan briged tentera India tidak mempunyai pengalaman berperang. Bagi memastikan tentera India yang mempertahankan Tanah Melayu hilang semangat untuk berperang, tentera Jepun telah menyebarkan dakyah bahawa Jepun mempunyai hasrat untuk membebaskan Asia termasuk India daripada cengkaman jajahan kuasa Barat termasuk India. Ini telah menyebabkan tentera India yang berperang telah berpaling tadah dan memudahkan kemaraan tentera Jepun.


No comments:

Post a Comment